KESAN PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT
Dalam
meniti kehidupan era siber ini,
penggunaan telefon bimbit telah menjadi satu keperluan kepada kebanyakan umat
manusia. Dahulu, hanya golongan kaya yang menggunakan telefon bimbit, tetapi
kini, dalam kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik marcapada ini,
kebanyakan golongan dewasa, remaja dan pelajar serta murid sekolah rendah juga
berupaya menggunakan telefon bimbit. Oleh hal yang demikian, implikasi baik dan
buruk yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi
kebaikan bersama.
Kita
pastinya boleh menggunakan telefon bimbit yang dimiliki untuk menghubungi insan
tersayang yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati. Mendengar suara ibu
dan bapa pastinya membuatkan jiwa kita tenang lebih-lebih lagi mereka merupakan
insan yang paling mengenali diri kita. Oleh hal yang demikian, penggunaan
telefon bimbit oleh para pelajar pastinya meningkatkan motivasi mereka untuk
terus belajar lebih-lebih lagi untuk para pelajar yang tinggal di asrama yang
jauh daripada keluarga.
Selain itu, kita boleh menggunakan telefon bimbit untuk bertanyakan hal-hal
yang berkaitan persekolahan. Sebagai contohnya, rakan-rakan rapat boleh
dihubungi dengan segera waima kita tidak berada di sekolahpun jika mereka
mempunyai telefon selular ini. Secara tidak langsung, segala perkara penting
yang disampaikan oleh guru ketika kita tidak boleh hadir ke sekolah dapat
diketahui dengan segera melalui penggunaan telefon bimbit. Hubungan dengan rakan-rakan
juga akan menjadi erat dan bertambah mesra.
Walau
bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit juga mendatangkan kesan negatif kepada
pelajar. Misalannya, mereka lebih mudah merakam atau menyimpan video-video
mahupun gambar-gambar lucah dalam alat telekomunikasi itu. Perkara ini memang
tidak boleh dinafikan lebih-lebih lagi apabila cerita mengisahkan klip-klip
video ini pernah tersiar di layar perak iaitu filem Klip 3GP. Penyebaran
video-video seperti yang dimaksudkan ini bukan mudah untuk dibanteras tetapi
tidak mustahil untuk diperangi.
Di
samping itu, penggunaan telefon bimbit juga boleh melalaikan remaja. Lihat
sahaja situasi masa ini apabila golongan remaja tidak boleh berpisah dengan
‘kembar’ mereka itu walaupun sedetik. Ditambah pula dengan pelbagai aplikasi
yang kurang penting dan permainan yang melekakan dalam telefon mudah alih itu
pastinya membuang masa para remaja dengan sia-sia. Walhal, masa senggang para
remaja perlu diisi dengan ilmu yang bakal menerangi masa depan mereka.
Konklusinya,
penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja memberikan seribu satu faedah
kepada sesiapa sahaja. Kita perlu bijak menggunakan apa-apa sahaja gajet atau
alat yang dicipta dalam dunia serba canggih ini dengan cara yang betul. Jika
tidak digunakan untuk kebaikan, perkara ini mampu merosakkan masa depan dan
fikiran remaja itu sendiri. Sewajarnya, para remaja yang merupakan tonggak
negara pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan kontra sesuatu
perkara sebelum dilakukan bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.
No comments:
Post a Comment