Aktiviti
Kokurikulum
Kemerosotan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dikatakan
antara punca meningkatnya masalah sosial di sekolah belakangan ini. Untuk
membendung masalah sosial yantg semakin gawat ini, aktiviti kokurikulum semakin
dititikberatkan oleh Kemnterian Pelajaran. Akan tetapi, penyertaan dalam
aktiviti kokurikulum masih kurang mengggalakkan. Oleh itu, pelbagai strategi yang sesuai harus
dilakukan bagi menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum.
Dalam hal
ini, perancangan sekolah amat penting. Pihak sekolah harus memperuntukkan wang
yang lebih banyak untuk menggiatkan aktiviti kokurikulum serta melengkapkan
kelab, persatuan, pasukan beruniform dan sebagainya dengan pelbagai kemudahan.
Wang itu juga dapat menaja aktiviti pelajar di luar sekolah. Kemudahan untuk
bersukan seperti go-kart, skuasy, gimrama dan balet dapat disediakan. Kebebasan
juga dapat diberikan kepada pelajar untuk menganjurkan aktiviti seperti
berkhemah, pertandingan dan lawatan sambil belajar. Dengan itu, aktiviti
kokurikulum akan menjadi lebih menarik.
Di
samping itu, galakan ibu bapa juga penting. Banyak ibu bapa tidak menggalakkan
anak-anak mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Mereka mahu
anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan sahaja. Untuk mengatasi salah
tanggapan ini, pihak sekolah harus menggalakkan ibu bapa sama-sama melibatkan
diridalam aktiviti kokurikulum. Dengan itu, mereka akan menyedari pentingnya
aktiviti kokurikulum lantas akan menggalakkan anak-anak mereka menyertai
aktiviti kokurikulum.
Kempen
kesedaran juga dapat menggiatkan aktiviti kokurikulum. Kempen ini dapat
dilakukan di sekolah atau melalui media massa. Kepentingan kegiatan ini
disiarkan secara meluas. Golongan yang giat dalam bidang ini berjaya dalam
hidup wajar diundang untuk berceramah. Sebagai contoh, Datin Sharifah Mazlina
diundang untuk menceritakan kejayaannya merentas Antartika secara solo. Begitu
juga dengan wira negara yang berjaya menakluki Gunung Everest, Ahmad Reduan dan
Mohd. Muqharrabin, diundang berceramah untuk Kelab Mendaki Bukit sekolah. Datuk
Abdul Malek Abidin pula diundang berceramah tentang pengalamannya merentasi
Selat Inggeris kepada ahli-ahli pengakap. Dengan itu, pelajar akan menyedari
pentingnya aktiviti kokurikulum dan terpikat oleh aktiviti yang sihat ini.
Dalam
usaha untuk menggiatkan aktiviti kokurikulum, sumbangan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dan syarikat swasta amat penting. NGO dan syarikat swasta bolah
memberikan sumbangan kewangan untuk menaja program-program kokurikulum,
misalnya menaja lawatan sambil belajar ke sesuatu tempat. Pihak tersebut juga
boleh menyediakan kemudahan untuk program kokurikulum. Di Lumut, Outward Bound School menganjurkan kursus
tahan lasak untuk sekolah. Di Langkawi, Kelab Belayar melatih pelajar-pelajar
yang berminat secara percuma. Rakan Muda pula menghantar jurulatih profesional
untuk menjayakan pelbagai aktiviti kokurikulum
di sekolah. Dengan itu, aktiviti kokurikulum pasti berjalan dengan giat.
Pemberian
insentif juga penting untuk menggiatkan aktiviti kokurikulum. Sijil
kecemerlangan wajar diberikan kepada pelajar yang aktif dalam bidang ini.
Kerajaan dan syarikat swasta hendaklah memberikan pengiktirafan yang sewajarnya
kepada sijil sedemikian. Sebagai contohnya, pelajar yantg aktif dalam aktiviti
kokurikulum akan diberi keutamaan
mengisi jawatan kosong. Selain itu, kemsukan ke universiti juga harus
bersandarkan prestasi pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Pelajar yang aktif
dalam kokurikulum diberi keutamaan untuk mengikuti kursus yang lebih baik.
Mereka juga diberi keutamaan dalam mendapatkan biasiswa. Dengan cara ini,
barulah pelajar berebut-rebut untuk menyertai aktiviti kokurikulum.
Aktiviti kokurikulum penting untuk setiap
pelajar. Pemesatan semula aktiviti kokurikulum akan dapat mencegah kemerosotan
kualiti remaja serta membendung gejala sosial. Oleh itu, semua pihak mestilah
bekerjasama untuk menggalakkan pelibatan para pelajar dalam aktiviti
kokurikulum yang berguna ini.